Mesyuarat Tahunan Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur Pada 14/4/2012. Sila Kemukakan Usul sebelum 1/5/4/2012

 

 

 

MESYUARAT TAHUNAN MASJID AT-TAQWA AKAN DIADAKAN PADA 14 APRIL 2012 MULAI JAM 10 PAGI. SILA KEMUKAKAN USUL SEBELUM 1/4/2012

 

UNTUK URUSAN JENAZAH SILA HUBUNGI HJ HAMZAH BIN SALAS TELEFON: 012-3218020  atau HJ MOHD HAFIZ HJ LAMIN NOMBOR TELEFON: 012-2913375

Terbaru: IPAD 3 dan IPHONE 5 akan ada dipasaran pada bulan September 2012

-----------------------------------------------------------------------------------


Imam Masjid Sebagai Lambang
Perpaduan Masyarakat

 Bolehkah orang kuat merokok tampil ke hadapan menjadi imam, sedang jemaah tidak menyukainya? 

DR ABDUL HAYEI ABDUL SUKOR

Pada dasarnya imam adalah suatu bentuk kepemimpinan yang dipertanggungjawab memimpin jemaah dan makmum bagi menunaikan solat dengan sempurna.  Jika seseorang dipercayai mempunyai kebolehan serta bersedia memimpin solat jemaah, ia harus melihat kepercayaan itu sebagai suatu bentuk penghormatan yang tidak seharusnya ditolak dengan mudah. Bagaimanapun, seseorang tidak boleh dipaksa supaya mengimami solat, sekalipun atas alasan ia lebih berpengetahuan daripada orang lain.  Budaya suka sama suka perlu dikekalkan.

Jika seseorang merasakan dirinya tidak dapat menjalani tugas-tugas sebagai imam dengan sempurna, jemaah harus memilih orang lain yang sedia menerimanya dengan ikhlas dan suci hati. Seseorang yang waras fikirannya tentu lebih mengetahui tentang kelemahan dan kekuatan dirinya sendiri, terutama yang berkaitan kepemimpinan.  Untuk memimpin solat jemaah bukan hanya dinilai pada bacaan dan perwatakan lahirnya sahaja, banyak lagi ciri yang sepatutnya diambil kira, seperti sikap, gaya hidup dan sebagainya. Saya percaya jika seseorang menolak daripada memimpin jemaah, maka atas  sebab-sebab tertentu, mungkin peribadi yang memberatkan hatinya untuk berterus terang. Jika dengan alasan ini ia boleh dimaafkan,  Allah berfirman yang bermaksud:

Allah tidak memberatkan seseorang melainkan sekadar keupayaannya.(al-Baqarah: 286).

Memang kekerapan hadirnya ke masjid untuk menunaikan solat jemaah adalah suatu kelebihan yang mewajarkan dirinya dipilih memipin solat, kerana Nabi (s.a.w.) bersabda, antara tujuh kumpulan yang akan mendapat naungan-Nya pada hari Akhirat ialah mereka yang hatinya sentiasa berpaut ke masjid.  Bahkan dalam al-Qur`an menyifatkan orang yang memakmurkan masjid itu ialah mereka yang sebenarnya beriman kepada Allah dan hari Akhirat.  (al-Taubah: 18).  

Dalam keadaan ketiadaan imam yang sanggup memimpin solat jemaah secara sukarela, sebaik-baiknya orang ramai atau jemaah, melalui pentadbiran masjid atau surau, hendaklah memilih imam lain yang bersedia memimpin, berdasarkan ciri-ciri kepemimpinan solat sebagaimana yang ditentukan dalam kitab-kitab Fiqh. Jika masjid memerlukan beberapa pegawai, atau imam  memerlukan bayaran sago hati atau gaji yang cukup, masyarakat hendaklah menimbangnya dengan adil, kerana mendirikan solat jemaah tidak berhasil tanpa imam dan pegawai-pegawai yang mentadbir masjid, sedangkan mereka juga terpaksa menjalani tugas-tugas mencari nafkah untuk keluarga dan sebagainya. 

Ulama Fiqh menyediakan garis panduan khas bagi memilih atau melantik imam jemaah.  Menurut mazhab Syafi`i, ada dua bahagian syarat yang diperlukan, iaitu syarat minimum dan syarat keutamaan.  Syarat-syarat ini perlu diteliti dengan wajar, supaya pelaksanaan solat jemaah, menghasilkan tujuan dan objektifnya yang sebenar, iaitu antara lain mengukuhkan ikatan persaudaraan Islam dan perpaduan antara jemaah.

Syarat minimum yang dimaksudkan ialah, hendaklah imam beragama Islam, berakal, lelaki, bersih daripada hadas dan segala bentuk kotoran, betul bacaan dan mampu melaksanakan solat dengan sempurna rukun dan syaratnya.  Syarat keutamaan pula ialah jika boleh hendaklah mengikut susunan keutamaan berikut, iaitu pemimpin negara, imam yang dilantik pemerintah, orang yang mendalami ilmu pengetahuan agama, orang yang baik mutu bacaannya, paling berusia dan lebih lama memeluk Islam, paling dihormati riwayat hidupnya, paling bersih  pakaiannya, paling merdu suaranya, paling cantik rupa parasnya dan mempunyai isteri. Sesiapa yang lebih menepati ciri-ciri ini secara tertib, dialah yang lebih utama dikehadapankan untuk memimpin solat jemaah. Jika ramai calon yang menepati ciri-ciri itu, hendaklah ditentukan secara undi. Jika ada yang menarik diri, pemilihan hendaklah beralih kepada calon yang terdekat di bawahnya.  (Dr. Wahbah al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 2/185) 

Demikianlah peraturan yang ditentukan dalam hukum syara` berhubung kepemimpinan solat. Saya yakin jika peraturan ini berjalan dengan betul, tidak berlaku lagi tolak menolak sesama jemaah untuk memimpin solat pada ketika ketiadaan imam rasmi. Memang sulit mendapatkan calon imam yang sempurna seperti digariskan itu, kerana zaman sudah ketinggalan jauh dengan Rasulullah, cara hidup dan penilaian diri juga sudah banyak berubah, suasana dan persekitaran hidup juga seakan-akan dijangkiti budaya luar, tetapi buat masa ini rasanya memadailah jika kita dapat melantik orang yang terbaik antara kita dari segi ilmu pengetauan tentang dan amalnya untuk dipilih sebagai imam.

Merujuk kepada persoalan mengenai orang kuat merokok, bolehkah ia tampil kedahadapan menjadi imam, sedang jemaah tidak menyukainya.  Saya mempunyai pandangan begini:

Rokok memang tidak wujud pada zaman Rasulullah (s.a.w.), sahabat, tabi`in dan zaman awal ahli-ahli Fiqh Islam. Ia dibawa masuk ke dalam masyarakat Islam pada zaman pertengahannya. Oleh itu tidak dikesani adanya sebarang nas yang jelas mengenai hukum merokok.  Sejauh yang diketahui, ulama Islam berbeza pendapat tentang hukumnya, ada yang berpendapat haram atau makruh tahrim, kerana merokok mendatangkan mudarat dan pembaziran kepada harta benda. Ada pendapat mengatakan harus, kerana tidak ada dalil samada al-Qur`an atau hadis yang melarangnya, namun jika mudaratnya kepada para perokok meyakinkan, maka hukumnya telah disepakati haram, kerana Allah berfirman yang bermaksud:

Jangan kamu campak diri kamu ke dalam bahaya yang membawa kebinasaan (al-Baqarah: 195)

JK Fatwa MKI  Memutuskan   Merokok Bahawa Adalah Haram

 

Walaupun kita tidak bersetuju dengan pendapat solat di belakang orang  merokok itu sebagai tidak sah, namun perlu diambil perhatian bahawa asap rokok menimbulkan bau yang kurang enak kepada para jemaah, orang ramai tidak selesa dengan asapnya. Bau ini tidak sesuai dengan suasana dalaman masjid yang nyaman dan dengan gerakgeri imam yang memimpin solat. Justeru itu, sangat baik bagi imam, jika ia memilih untuk tidak merokok, sekurang-kurangnya dalam tempoh waktu yang terdekat dengan solat jemaah yang akan dipimpinnya. Ini kerana hadis riwayat al-Bukhari, sabda Nabi (s.a.w.) yang bermaksud:

Sesiapa makan bawang putih atau merah (mentah), endaknya janganlah ia mendekati masjid kami, kerana Malaikat terganggu dengan gangguan bau busuk itu.

Tabiat merokok adalah suatu kelemahan bagi para perokok, imam seharusnya menjadi contoh teladan yang terbaik dan ikutan para makmum dan jemaah, beliau adalah lambang perpaduan jemaah dan masyarakat, samada pada gerak geri, tingkah laku, hidup harian dan sebagainya, sesuai dengan tugasnya sebagai pemimpin ibadat solat yang paling mulia antara ibadat.

Bagaimanapun, Fuqaha Islam kecuali Ahmad Ibn Hanbal berpendapat sah tetapi makruh sembahyang berimamkan orang fasik.  Ini berdasarkan beberapa kejadian yang berlaku seperti Ibn Umar yang bernah bersembahyang dibelakang al-Hajjaj, pemerintah Hijaz pada zaman Abdul Malik b. Marwan (26 - 87 Hijrah ).  Beliau disepakati ahli sejarah sebagai fasik, kerana banyak terlibat dalam pertumpahan darah. Demikian juga dengan Abdullah b. Mas`ud pernah bersolat dibelakang al-Walid b. `Uqbah Ibn b. Mu`ayt (men. 61 H.) yang merupakan seorang kaki minum. Beliau adalah pemerintah kufah pada zaman `Uthman b. `Affan.

Kembali kepada persoalan di atas sekali lagi, tanpa niat membela imam-imam yang fasik atau kaki merokok, saya ingin bertanya, mengapa kita tidak sukakan imam itu?  Adakah kerana sebab-sebab peribadi atau agama?.  Seringkali sebab-sebab peribadi dikaitkan dengan agama bagi menghalalkan sesuatu permusuhan.  Jika atas sebab-sebab agama, sudahkah kita menasihati imam itu dengan hikmah dan teguran yang penuh bijaksana. Jika segala-galanya sudah dilakukan, tetapi tidak juga berhasil, maka anda sudah bebas daripada tanggungjawab, anda boleh memilih masjid-masjid yang lain untuk menunaikan jemaah anda.  Biarkan imam itu dengan para jemaah yang setia kepadanya.

Dalam kesempatan ini saya ingin menarik perhatian para jemaah, bahawa masjid adalah rumah Allah tempat bermunajat kepada-Nya, rumah ini memerlukan suasana nyaman serta kebersihan hati dan fikiran secukupnya, supaya para pengunjungnya memperolehi  apa yang dicita-citakannya setelah hadir dan menunaikan solat berjemaah di masjid.

Kadang-kadang sesebuah masjid nyaman dengan suasana dan kebersihan lahirnya, dengan keindahan halaman dan kehijauan tamannya, tetapi kelamkabut dengan perbezaan fahaman politik para jemaah yang sangat taksub dengan kumpulan-kumpulan tertentu.  Anehnya ketaksuban yang melampau dalam politik ini dibawa pendakwah dan ilmuwan hingga kemana-mana, masjid juga tidak terkecuali, hingga melupakan tugas sebenar  mereka sebagai petugas amar ma`ruf dan nahi munkar yang berprinsip.  Semangat kepartian yang melampau, jika dikembangkan di masjid, akan hilang rasa nyamannya yang tidak boleh didapati di mana-mana pun lagi.   Wallah A`lam.



 Merokok: Islam Mencegah Umatnya Memudharatkan Diri Sendiri

 


 

AZAN DAN MASJID AL - AQSA SEBENAR